Malah, bagi generasi yang membesar di kampung, hida­ngan tradisi itu pasti mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak. Itulah tarikan hidangan di Restoran Cik Melur di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri di sini yang menghidangkan pelbagai menu ala kampung.

Ternyata, makanan tradisi ini masih mendapat tempat di hati masyarakat apabila restoran berkenaan dipenuhi pelanggan setiap kali waktu rehat. Bukan sahaja ia menjadi tumpuan ge­nerasi lama, malah turut menjadi pilihan golongan muda.
Walaupun menghidangkan pelbagai menu, ikan bakar air asam mencepu adalah tarikan utama pe­langgan ke Restoran Cik Melur. Ini kerana hidangan itu hanya boleh didapati di restoran berkenaan.

Apa yang uniknya, buah mencepu yang merupakan ‘buah hutan’ itu dijadikan bahan utama dalam penyediaan air asam bagi menggantikan tomato atau belimbing buluh.

Rasanya yang masam-masam manis dan dicampur dengan bahan lain mencetuskan kelainan apabila dijamah bersama ikan bakar seperti talapia merah dan siakap. Harga yang ditawarkan pula sangat berbaloi bermula daripada RM12 hingga RM40.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, air asam mencepu itu akan diperkenalkan sebagai menu baharu di cawangan restoran berkenaan yang terletak di Alam Damai, Cheras bermula Isnin ini.

Menurut pemilik restoran, Tengku Ahmad Silmi Tengku Azizan, sejak memulakan perniagaan 12 tahun yang lalu, beliau memfokuskan makanan berkonsepkan selera kampung bagi memberi pilihan kepada pelanggannya.

Bagaimanapun katanya, resipi air asam mencepu itu dihasilkan oleh isterinya selepas mendapat inspirasi daripada menu keluarga dari Kelantan.

“Di Kelantan, buah mencepu ini dimakan bersama budu tapi disebabkan ada segelintir masyarakat tidak biasa makan makanan tradisional itu jadi isteri saya mengubahsuai menu tersebut kepada ‘air asam mencepu’.

“Buah mencepu ini sukar untuk diperoleh kerana ia tumbuh di hutan. Walaupun tidak bermusim tetapi agak sukar diperolehi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Tengku Ahmad Silmi, ramai pelanggan memberi maklum balas positif dan menganggap hidangan itu mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.