SEMALAM, berlangsungnya Rapat Rakyat Ceramah Umum "10 hari menjelang Bersih 3.0" di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, Kuala Lumpur. Jika program semalam dijadikan kayu-ukur perhimpunan Bersih 3.0 yang bakal diadakan, maka kita wajar merasa bimbang.
Penulis telah dimaklumkan sejak dari awal bahawa kehadiran adalah disasarkan dalam 10,000 orang tetapi yang hadir jangankan 50%, tetapi 5% sahaja. Benar, bahawa laman-laman web pro-PR kebanyakannya memberi gambaran bahawa program semalam mendapat sambutan tetapi, apa gunanya kita menipu diri sendiri? Mengaku sajalah bahawa yang datang hanyalah lebih kurang 500 orang.
Justeru, bagaimana kita boleh mensasarkan sehingga 500,000 atau lebih dalam perhimpunan yang sebenar nanti sedangkan untuk mengumpul 5,000 pun kita tidak mampu?
Penulis tahu tulisan ini pasti ditempelak oleh pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PR sekalian tetapi penulis mempunyai tanggungjawab untuk menegur dan menyatakan yang benar walaupun pahit.
Kebenarannya ialah Chegu Bard telah gagal menggerakkan anak muda dan mahasiswa sepertimana yang ditugaskan kepadanya.
Dikhabarkan Chegu Bard akhir-akhir ini seolah-olah sudah kehilangan semangat dan segala cakap berdegar-degarnya hanyalah lakonan semata-mata. Oleh itu, penulis tertanya-tanya, mungkinkah beliau sudah letih?
Jangan kita lupa bahawa Chegu Bard pernah kecewa ketika pemilihan parti yang lalu sehingga hampir keluar parti. Apakah luka kecewa itu masih belum pulih?
Bukan kita menuduh Chegu Bard sengaja menggagalkan himpunan pra-bersih tetapi kita meragui kesungguhannya untuk menjayakan Bersih 3.0. Tidak logik jika dikatakan bahawa kebanyakan tenaga anak-anak muda sudah dikerahkan untuk berdemo isu PTPTN di Dataran Merdeka kerana di situ juga tidak ramai lagi yang tinggal.
Apakah ini petanda bahawa semakin ramai anak muda memalingkan muka dari PR?
Sudah menjadi tanggungjawab Chegu Bard untuk menyedarkan anak-anak muda tentang pentingnya perjuangan PR dan Bersih untuk menuntut pilihanraya yang bersih. Tetapi melihat dari apa yang berlaku, adalah tidak mustahil jika penulis mengesyaki bahawa pendekatan yang digunakan Chegu Bard terhadap anak-anak muda tidak begitu sesuai iaitu 'terlalu politik'.
Apabila kita bercakap tentang Bersih, kita harus memisahkan diri kita dari parti kerana perjuangan Bersih bukanlah perjuangan satu-satu parti tetapi perjuangan seluruh rakyat Malaysia. Dan PR menyokong perjuangan ini kerana hanya itulah yang akan dapat menjamin keadilan dalam pilihanraya nanti. Jika pilihanraya tidak adil, maka pastinya kerajaan yang memerintah adalah tidak adil juga.
Kita faham para pemimpin PR sering terbawa-bawa dengan parti bila bercakap soal Bersih dan inilah yang membuatkan rakyat terutamanya, anak muda mula meragui peranan Bersih.
Mungkin inilah yang gagal Chegu Bard fahami apabila berhadapan dengan anak-anak muda. Jangan kita terlalu yakin yang semua anak-anak muda itu kukuh berada di pihak kita kerana orang muda amat mudah terpengaruh. Bila-bila masa mereka boleh berubah fikiran, berfikir semula dan akhirnya berbuat sesuatu yang tidak dijangka.
Justeru, bagi memastikan Bersih 3.0 berjaya, Chegu Bard perlu mengumpul tenaga dan memulihkan semangat juangnya untuk menguatkan sokongan anak-anak muda bakal pemimpin negara sebagai barisan paling hadapan dalam perjuangan ini.
Kalau tidak, mungkin juga PR perlu melatih pemimpin muda yang baru untuk memimpin anak-anak muda kita dengan seberapa segera, supaya perjuangan 'membersihkan' Malaysia tidak terpancit di tengah jalan.
Apapun, kita wajib pastikan Bersih 3.0 mencapai sasaran melalui apa jua cara. Ingatlah, kita sudah tiada masa kerana pilihanraya sudah hampir tiba.
Sumber : Minda Hijrah
No comments:
Post a Comment
Admin blog Pendekar Melayu Ulung tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh disabitkan kesalahan akta Komunikasi dan Multimedia 2008.
Oleh itu, komen lah secara berhemah ya.