Monday, 15 December 2014
POLITIK "TERJUN BOTOL"
Presiden PKR, Datin Seri Dr Azizah Wan Ismail mengatakan bahawa pelbagai dakwaan yang dibuat oleh Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin terhadap beberapa perkara “sumbang” dalam parti itu sebagai isu “peribadi”.
Ini bermakna tuduhan Badrul atau Chegu Bard bahawa ada penyokong Timbalan Presiden, Azmin Ali, cuba mensabotaj pencalonan Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor dengan menarik balik sokongan bulat PKR , adalah tidak benar dan tidak berasas.
Jika demikian bererti Badrul tidak bercakap benar apabila mendedahkan perkara itu kononnya mahu membela maruah Wan Azizah daripada dikhianati “orang-orang Azmin”.
Sekaligus ini menegaskan bahawa Wan Azizah akur tiada komplot untuk mengaibkannya dan apabila beliau menegaskan bahawa itu adalah “isu peribadi Badrul” ia membayangkan ada niat serong Badrul terhadap Azmin pula.
Sudah tentu bagi parti yang menghadapi soal kewibawaan kerana gagal mempamerkan pengurusan demokrasi yang baik seperti dapat dilihat dalam proses pemilihan pimpinannya yang baru lalu, sikap “basuh tangan” presiden apabila menghadapi politik “kurang beretika” dalam parti itu, agak mengecewakan.
Pendirian presiden parti seperti Wan Azizah itu bolehlah dianggap tidak tegas malah boleh menjadi katalis untuk pelbagai lagi amalan politik kurang beradab seperti “mengadu-domba” pemimpin ini berleluasa.
Dalam kes Badrul, politik “terjun botol” ini seharusnya menggusarkan pimpinan parti sejak lama dahulu. Dalam istilah kontemporari, beliau “bermulut laser” dan tidak gentar menggunakan kata-kata pedas dan mengguris hati terhadap lawan politik luar mahupun dalam parti.
Jika PKR mendakap prinsip politik memperjuangkan keadilan hakiki maka perkara pertama yang harus dipastikan ialah keadilan untuk setiap dan seluruh ahli serta pemimpinnya daripada menjadi mangsa sikap politik “fitnah” begini.
Sesungguhnya PKR seharusnya tahu membezakan apa dan di mana batas kebebasan bersuara dengan fitnah. Lebih-lebih lagi jika diteliti jalur pemikiran politik PKR ialah sentiasa meletakkan diri sebagai sasaran fitnah pihak lawan, terutama dalam isu moral Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Soal sikap politik pelik Badrul ini bukan baharu. Dalam tempoh pemilihan pemimpin dari Mac hingga Ogos tahun ini pelbagai tuduhan dibuatnya yang boleh “mencederakan” imej PKR. Yang nyatanya pusar serangan politiknya ialah Azmin Ali.
Memang benar tindakan ke atas Badrul sudah diambil dan kini keahliannya digantung kerana melanggar disiplin pemilihan parti. Bagaimanapun itu tidak melelahkan pemimpin Solidariti anak Muda Malaysia (yang tidak lagi begitu muda) itu daripada terus menunjukkan sikap yang kurang menghormati prinsip keadilan.
Soalnya, apakah PKR perlukan seorang soldadu politik yang mengamalkan “politik kiasu” begini? Adakah PKR masih lagi berada di takuk politik lama di mana ia amat perlukan orang seperti Badrul untuk “menggemparkan” masyarakat dengan pelbagai tuduhan “liar dan nekad” untuk memancing perhatian rakyat?
Apakah selepas 15 tahun memimpin parti yang mengisytiharkan diri mahu memastikan keadilan bagi setiap insan berwarganegara Malaysia, PKR masih perlukan taktik politik yang cuba “mengenyit mata naluri politik rakyat” sahaja?
Tidakkah sudah tiba masanya PKR yang meletakkan diri sebagai teraju perjuangan keadilan dan demokrasi berhenti menggunakan strategi “membuat gempar” seperti kebanyakan artis hiburan demi menarik perhatian rakyat.
Gelagat politik sebegini mesti dihentikan dahulu jika PKR jujur dengan slogannya “Rakyat Hakim Negara”. Sudah tentu sebagai hakim, rakyat perlukan sebuah parti yang digerakkan oleh orang-orang yang jujur tidak cuba “mencuri kepercayaan” melalui taktik sensasi dan kiasu begini.
Lebih buruk lagi kedudukan PKR ini jika perhatikan satu lagi “gempaq politik” yang cuba dijaja oleh Badrul. Beliau mendakwa Azmin juga terbabit dalam proses melucutkan penghormatan “Datuk Seri” yang pernah dikurniakan oleh Sultan Selangor lebih sedekad lalu kepada Anwar Ibrahim.
Memang benar pelucutan itu tidak menjejaskan imej anwar. Malah ia mungkin memenangi simpati awam terhadapnya. Namun adakah tuduhan itu adil kepada Anwar, Azmin dan PKR sendiri?
Atau, adakah atas nama strategi mahu memenangi lebih banyak simpati bagi Anwar dan PKR sendiri maka ia bersikap “seolah-olah tidak ambil hirau” politik Badrul itu?
Mungkin Badrul menggunakan strategi Goebbels, pakar strategi propaganda perang dunia kedua Jerman yang mengatakan bahawa sesuatu kepalsuan jika terus diulang, akhirnya akan diterima sebagai satu kebenaran bagi memenuhi agenda peribadinya sendiri.
Namun sebagai sebuah parti politik berakhlak, PKR harus bertanggungjawab menjelaskan sama ada tuduhan itu benar atau tidak. Jika ia palsu, tidakkah PKR wajib membela dan membersihkan nama baik menteri besar dan Timbalan Presidennnya?
“Inisiatif politik” Badrul ini boleh dilihat sebagai mahu memelihara “nama baik dan maruah” Anwar yang dilihat “mempertikaikan wibawa Istana Selangor” hingga perlu “diaibkan” dengan penarikan balik darjah kebesaran negeri.
Bagaimanapun apabila Badrul “mendedahkan” bahawa Azmin terbabit dalam proses “pengaiban” Anwar itu, ia sekaligus menyerlahkan betapa bahayanya Badrul dalam politik PKR. Ia menggambarkan PKR sebagai wadah yang tidak tenteram dan gelanggang “pertikaian sesama pemimpin”.
Sebagai presiden Wan Azizah seharusnya bertindak membersihkan partinya daripada unsur negatif yang semakin menjolok mata ini. Namun ia memerlukan keikhlasan dan keberanian. Jika tidak hentikanlah kepalsuan dengan berhenti menggunakan katanama PKR sebagai parti KEADILAN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Admin blog Pendekar Melayu Ulung tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh disabitkan kesalahan akta Komunikasi dan Multimedia 2008.
Oleh itu, komen lah secara berhemah ya.