Saturday, 11 April 2015

Rukun Negara pupus jika Pakatan Rakyat memerintah?


Jika Pakatan Rakyat memerintah, yang hampir pasti menghadapi perubahan, jika tidak kepupusan, ialah Rukun Negara. Ini kerana belumpun berkuasa barisan pembangkang itu sudahpun mempamerkan sikap tidak hormat pada lima prinsip asas membina bangsa Malaysia yang  bersatu .

Dalam kemaruk untuk menegur, mengkritik dan menyerang kerajaan Barisan Nasional hari ini, secara wewenang dan atas pertimbangan politik semata-mata pembangkang nampaknya kerap bertindak menggugat prinsip-prinsip luhur rukun itu.

Perlakuan dan tindakan yang bertentangan dengan semangat Rukun Negara itu dipamerkan dengan galak tidak kira di dalam persidangan Dewan Rakyat dan dewan-dewan undangan negeri mahupun di khalayak ramai.

Malah kegiatan melepaskan dendam politik  yang terbuku di hati tanpa tapisan nilai-nilai murni yang dimaktubkan Rukun Negara ala Pakatan Rakyat ini semakin meluas dihamburkan dalam medan media sosial.

Rukun Negara yang seharusnya menjadi pengikat rasa muhibbah di kalangan rakyat dan merentasi perbezaan budaya, agama dan bangsa mutakhir seolah-olah diinjak oleh kegilaan berpolitik.

Mukadimah Rukun Negara disusun begitu sopan dan rapi dan bermula dengan pernyataan “Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

• mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
• memelihara satu cara hidup demokratik;
• mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
• menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
• membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

“Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :

• KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN;
• KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA;
• KELUHURAN PERLEMBAGAAN;
• KEDAULATAN UNDANG-UNDANG;
• KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Rukun yang mula-mula tumpas pada kegelojohan berpolitik oleh pembangkang ini ialah prinsip kesopanan dan kesusilaan. Malah turut tercemar ialah Rukun Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Gejala ini dapat disaksikan pada pembukaan persidangan Dewan Undangan Perak Selasa lalu. Wakil-wakil rakyat pembangkang sengaja memakai serba hitam untuk menzahirkan protes politik mereka.

Mereka marah terhadap cara kerajaan Barisan Nasional mengurus negara. Radang tercetus kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara dan kegagalan mereka menghalang penguatkuasaan sistem percukaian GST.

Pembangkang dalam Dewan Undangan Perak juga sengaja melanggar istiadat Dewan dengan berpakaian serba hitam kerana memprotes penahanan dua Adun Perak yang terbabit dalam tunjuk perasaan #Kitalawan di Kuala Lumpur.

Mereka juga membantah keputusan mahkamah yang memenjarakan ahli-ahli PAS yang cuba menghalang upacara angkat sumpah Dr Zambry Kadir sebagai menteri besar Perak pada 2009.

Bagaimanapun yang jelas tercela ialah Sultan Nazrin Muizuddin Shah. Ini adalah pertama kali baginda menyarung persalinan diraja untuk memuliakan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri.

Sultan Nazrin memang masyhur sebagai seorang cendekiawan berhemah dan sopan berinteraksi dengan rakyat. Bagaimanapun secara langsung atau tidak, kedudukan baginda sebagai Sultan Perak dicela oleh wakil-wakil rakyat pembangkang dengan “berkabung” dalam majlis baginda.


Sewajarnya apa jua perbezaan pandangan di antara ahli-ahli politik seharusnya diselesaikan di kalangan mereka secara beradab dan bukan cuba mencuri publisiti politik dalam istiadat yang membabitkan Sultan.

Dengan sengaja melanggar etika dan protokol di raja, ahli-ahli pembangkang itu mengguris kemuliaan Sultan dan menyinggung Rukun Negara yang dilakar dan dipersetujui sebagai salah satu sendi penting pembentukan bangsa Malaysia.

Lantaran taksub pada tuntutan politik mereka, soal kesopanan dan susila sebagai pemimpin langsung dilempar ke sisi. Tindakan itu menunjukkan tiada sekelumitpun rasa hormat pada institusi Raja yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara.

Natijahnya, Sultan Perak yang jelas tersinggung, terus meninggalkan dewan sebaik sahaja selesai menyampaikan titah baginda tanpa menghadiri majlis bergambar dengan wakil-wakil rakyat dan menyertai santapan di raja.

Negara Malaysia berdiri di atas tonggak tiga institusi utama – eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini membentuk, memperkasa dan langsung mendaulatkan undang-undang negara.

Bagaimanapun dirangsang persepsi negatif terhadap wibawa dan integriti badan kehakiman yang dirasuk oleh kepentingan politik meluap-luap, ada pemimpin pembangkang tergamak membawa usul supaya Dewan Rakyat mencela badan kehakiman secara rasmi.

Sesungguhnya ini adalah pemikiran dan amalan politik yang biadap. Sekaligus ia meremeh dan menghina sistem kenegaraan Malaysia. Lantas tidak hairanlah jika ditakdirkan Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, Rukun Negara yang dilembagakan sebagai pengikat muhibah di antara rakyat akan terlerai.

Tanpa rasa hormat dan pemikiran santun mengatur pembentukan bangsa Malaysia berpekerti tinggi seperti yang dipandu oleh Rukun Negara tidak mustahil Malaysia porak peranda dan liar kerana pemikiran biadap Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Admin blog Pendekar Melayu Ulung tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh disabitkan kesalahan akta Komunikasi dan Multimedia 2008.

Oleh itu, komen lah secara berhemah ya.