"Siasatan itu dibuat berdasarkan laporan polis yang diterima dan polis menjalankan siasatan bagi mengesan sumber pembocoran maklumat, sama ada melibatkan individu tertentu dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia mahupun daripada pihak PDRM sendiri. 

"Mereka yang terlibat tidak akan terlepas daripada disoal siasat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kepong di sini hari ini.

Beliau mengulas penahanan tiga individu semalam, termasuk seorang lelaki berpangkat 'Tan Sri' iaitu bekas Ahli Lembaga Penasihat SPRM berhubung laporan berbaur fitnah oleh Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown. Dua lagi ialah seorang wanita, yang bertugas sebagai ahli Sekretariat Kewangan dan Pentadbiran Amla (Special Task Force) Jabatan Peguam Negara dan seorang lelaki, yang bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya SPRM yang dipinjamkan daripada Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata siasatan turut dijalankan terhadap kebocoran maklumat yang disalur, dijual ataupun diserahkan kepada portal berita Sarawak Report atau mana-mana pengendali laman sosial yang lain. 

"Tindakan yang diambil oleh PDRM harus dilihat sebagai satu tindakan yang mengikut tatacara perundangan," katanya. 

Timbalan Perdana Menteri berkata sebarang maklumat biarpun datang dari jabatan perundangan atau pasukan yang dilantik tidak harus dibiarkan bocor, jauh sekali dibiarkan jatuh kepada penjual maklumat untuk tujuan memburukkan imej Perdana Menteri. - BERNAMA