Sunday 27 April 2014

HUDUD : PAS-FOBIA , ISLAM-FOBIA ATAU UMNO-FOBIA


Seseorang muslim tidak wajar dipatuk dalam satu lubang yang sama tiga kali, pesan Rasulullah s.a.w. Mesej ini adalah peringatan supaya setiap muslim sentiasa berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Pesanan ini bersifat umum. Ia terpakai dalam semua aspek kehidupan, terutama jika membabitkan maruah agama, bangsa dan negara. Justeru dalam berpolitik setiap pemimpin muslim harus berikhtiar untuk mencapai kesilapan sifar dalam kepimpinannya.

Peringatan ini harus dita’kuli pemimpin-pemimpin PAS. Ini kerana setiap keputusan politik yang mereka ambil akan meninggalkan kesan besar pada citra dan maruah ummah.

Soal PAS tidak mahu lekang daripada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam di negara ini bukan perkara baru. Ini termasuklah perjuangan untuk melaksanakan hukum hudud.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menegaskan perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam dengan melaksanakan syariat Islam di Malaysia sudah termaktub sejak awal penubuhannya.

Sebab itu dari masa ke masa PAS akan terus membangkitkan soal menterjemahkan cita-cita menurut skala kuasa dan kemampuan politknya.

Terbaharu, ia mahu membentangkan usul persendirian di Dewan Rakyat untuk mendapat sokongan hukum hudud boleh dilaksanakan di Kelantan.

Hasrat PAS laksana hudud berdepan jalan sukar

Bagaimanapun belum pun PAS mengorak langkah ke arah itu penentang-penentang pelaksanaan hudud sudah membuat operasi untuk menghalang cita-cita PAS itu menjadi realiti.

Parti-parti komponen bukan Islam dalam Barisan Nasional telah mengikrarkan semangat “satu hati” mereka untuk tidak mahu menyokong usul berkenaan. Perihal mengapa mereka bertindak demikian boleh difahami – mereka tidak faham Islam.

Operasi itu segera digerakkan apabila ada ahli-ahli Umno yang mula bersuara untuk menyokong usul berkenaan di Parlimen. Sesungguhnya ini satu perubahan. Mungkin kerana sering dituduh menentang hukum Islam oleh PAS, sudah mula tergerak hati Umno untuk menyokong tindakan yang mereka yakin boleh mendatangkan pahala itu.

Namun yang menyedihkan kerabat Pakatan Rakyat – DAP dan PKR – bertegas tidak mahu menyokong usul rakannya itu walaupun PAS mahu membuktikan fadhilat hukum hudud itu besar dan baik untuk Malaysia jika dilaksanakan di Kelantan, negeri pimpinan PAS.

Apakah bangkangan PKR dan DAP ini didorong oleh kebimbangan jika hudud dilaksanakan, ia akan menjadi seperti sistem perbankan Islam yang mula diterima oleh pelbagai kaum dan agama kerana ciri keadilannya?

Lantas jika hudud berkesan, apakah akan terjadi pada perundangan sivil? Jika hudud lebih berupaya mengharmonikan masyarakat berbilang kaum dan agama tidakkah nanti ia akan menarik lebih ramai untuk mendekati Islam? Jika demikian bagaimana dengan perkembangan agama-agama lain?

Tidakkah ini Islamofobia namanya?

Atau, jika rakyat Malaysia teruja dengan hudud yang ditaja PAS tidakkah ini menjadi magnet kepada PAS untuk menarik lebih ramai pengundi berbanding PKR dan DAP?

Tidakkah itu PASfobia namanya?

Bukan sekali ini PAS mendapat tentangan daripada DAP, MCA, Gerakan, MIC dan juga PKR. Yang jelas, mereka tidak beromong kosong mahu menentang. Kini ia sudah berjaya mengumpul sokongan daripada parti tidak berasas Islam dari negeri ke negeri.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semua parti politik di Sabah bersetuju untuk menentang usul PAS itu. Beliau menasihatkan DAP supaya menyekat usaha hudud PAS.

Mengapa PAS tidak bertegas laksana hudud ketika berada dalam Umno?

PAS pernah bernaung di bawah payung politik Barisan Nasional demi perpaduan negara. Malangnya, ketika bekerjasama atas semangat kebangsaan itu PAS tidak pula menyuarakan hasratnya untuk melaksanakan hukum hudud.

Sebaliknya, PAS kemudian keluar dari BN kerana tidak ada persefahaman yang nyata dengan halatuju BN. Sasaran ketidak-sehaluan PAS dengan BN sebenarnya bersandar pada isu menentang Umno demi sokongan pengundi Melayu.

Bila Umno berpecah pada tahun 1987, PAS menganggapnya “jong pecah yu kenyang” dan segera menyambar peluang menghulurkan tangan kerjasama dengan kumpulan serpihan Umno melalui jenama  Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah.

Natijahnya, PAS berhasil menawan Kelantan pada pilihan raya umum 1990. Namun sedihnya sehingga 2014 PAS masih belum berhasil melaksanakan hukum hudud yang didakwa menjadi matlamat perjuangannya.

Kemudian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuka pintu politik kepada PAS untuk bekerjasama dengan DAP. Ini berjaya menafikan BN majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Kejayaan ini mengkagumkan PAS yang nampak inisiatif Anwar ini sebagai jalan  mencapai cita-citanya untuk membentuk negara Islam. Maka ia pun bersetuju untuk mematri hubungan lebih teguh dengan PKR dan DAP melalui dokumen Buku Jingga.

Hasrat PAS tidak mungkin terlaksana jika DAP dan PKR terus menentang

Namun itu hanya satu cara untuk memasung PAS dalam jerangkap politik supaya memadamkan impian Negara Islamnya. Negara Berkebajikan menjadi alternatifnya.

Bagaimanapun ahli-ahli PAS yang ikhlas dengan matlamat perjuangan parti berasa tiada banyak maknanya menegakkan sebuah negara berkebajikan tanpa perundangan Ilahi. Maka dengan takzim ia memohon pada PKR dan DAP untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Cerita selanjutnya sudah diketahui. PAS tidak boleh berbuat demikian tanpa restu DAP dan PKR. Itu hukum yang termaktub dalam perlembagaan Pakatan Rakyat berdasarkan Kitab Jingga.

Kembalilah pada al Quran dan Sunnah. Sudah berkali-kali PAS kena patukan politik DAP dan PKR. mengapa mahu laksana hukum Allah menurut kitab buatan manusia? Kenapa masih tidak serik lagi?

Sementara itu entah malu dikatakan menentang Islam atau sudah “terdidik” oleh tarbiyah PAS yang sentiasa istiqamah untuk melaksanakan hukum Islam, Umno mula menunjukkan kecenderungan mewariskan hukum hudud pada generasi muslim akan datang.

Apakah PAS pula masih dilanda virus Umno-fobia? Kini PAS dianugerahkan berada dalam keadaan paling strategik. Baik DAP dan PKR mahupun BN mahu menyuntingnya menjadi teman politik.

Namun yang pasti bersama DAP dan PKR ia haram melaksanakan hudud. Umno pula kelihatan terkapai-kapai mencari tapak untuk mengukuhkan jatidiri muslimnya. Hudud adalah satu formulanya. Sudikah PAS membimbingnya?

Thursday 24 April 2014

Kapal Terbang Firelyz Mengalami Kegagalan Gear Mendarat


Pesawat milik Syarikat Penerbangan Firefly FY1002 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabagsa Pulau Pinang ke Kota Bharu, Kelantan pada jam 6.55 pagi terpaksa berpatah balik akibat masalah teknikal.

Pesawat itu berpatah balik pada jam 7.30 pagi selepas gear mendarat pesawat itu didapati gagal berfungsi selepas berlepas.

Wednesday 23 April 2014

Azmin Ali sudah bosan dengan Anwar!!



Kini secara terbuka Azmin Ali mengkritik Anwar dan berkata, parti itu harus keluar daripada terus dibayangi Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang akan bertanding mempertahan jawatannya bulan hadapan menegaskan, perkara itu perlu dilakukan demi survival parti berkenaan dalam landskap politik semasa.

Menurutnya, PKR yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu perlu bergerak ke hadapan untuk menghadapi keadaan yang semakin mencabar.

“PKR bukan parti Anwar dan tidak boleh terus dibayangi oleh beliau. Oleh itu, ahli- ahli mesti bergerak melebihi beliau dan untuk mencapai hasrat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan ahli PKR negeri baru-baru ini.

Azmin berkata, bagi tujuan kesinambungan kepimpinan parti, kita harus lakukan ini untuk memastikan PKR sentiasa relevan dan tidak didominasi oleh Anwar khususnya.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak pada masa sama turut mengingatkan ahli supaya memikirkan masa depan parti bukan masa depan Anwar mahupun keluarganya.

Ditanya mengapa tidak membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan Presiden selepas 15 tahun membuktikan ‘kesetiaan’ bersama parti, Azmin memberitahu, perkara ini masih sukar memandangkan Anwar dan keluarganya masih mendominasi parti.

Bagaimanapun ketika ditanya adakah beliau tidak selesa bekerja bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Azmin meminta media supaya tidak memaksanya mengeluarkan kenyataan tentang perkara tersebut.

Dalam masa sama, beliau mengakui pernah mengkritik Abdul Khalid demi kepentingan rakyat terutama dalam isu kenaikan gaji dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.

Sementara itu, Azmin menjelaskan beliau tidak gentar dengan pakatan yang dibentuk oleh Nurul Izzah Anwar, Datuk Saifudin Nasution dan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR kali ini.


Friday 11 April 2014

POLITIK LIMAU PURUT TIGA SERANGKAI CIPTAAN @anwaribrahim


Benarkah pertelagahan di antara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dengan satu-satunya Menteri Besar parti itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah meluap menjadi satu “ancaman” pula kepada kewibawaan parti itu sendiri?

Lantaran itu, wajarkah disimpulkan bahawa demi kelangsungan PKR kedua-dua pemimpin berkenaan patut digugurkan sahaja daripada saf pimpinan parti?

Sehubungan itu tidakkah terlalu awal (atau mungkin terlalu muda) bagi PKR untuk menemui jalan buntu menguruskan krisis kepimpinannya sehingga perlu memugar semula barisan pimpinan yang ada dan menggantikannya dengan kem politik baharu?

Demikianlah dilema Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru berusia lima belas tahun. Adakah rombakan besar-besaran sebegini diperlukan demi mengelak keruntuhan semangat dan kepercayaan ahli dan penyokong terhadap wibawa kepimpinannya?

Ataukah, adakah ini satu lagi gimik politik untuk mempamerkan betapa demokratiknya dan dinamiknya PKR bagi menebus “kegawatan” yang gagal ditangani dengan  berkesan oleh ikon mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Muncul puak baru dalam PKR

Muncul satu pola politik alternatif dalam PKR untuk “mensucikan kembali” perjuangannya yang semakin tersasar daripada landasan perjuangannya. Ribut berebut kedudukan dan tempat sudah mewarnai citra politik PKR.

Sayangnya, kumpulan ini tidak memberi nama khas kepada kehadiran mereka dalam polemik kepemimpinan PKR. Kem Saifuddin Nasution Ismail, Rafizi Ramli, dan Nurul Izzah Anwar menawarkan diri sebagai pasukan yang akan “membersihkan parti” daripada politik kepentingan peribadi.

"Saya rasa PKR kena pergi jauh dari isu pertembungan personaliti. Sesetengah orang mungkin berselindung dalam hal ini sedangkan pada saya parti ini lebih besar dan milik rakyat. Kita perlu kembali kepada soal-soal rakyat.

"Kebelakangan ini oleh kerana ada pertembungan personaliti antara Azmin dan Khalid, pada saya ia tidak akan membantu rakyat. Walaupun saya memilih kerjasama ini bakal menongkah arus dan dimaklumkan bahawa tindakan ini seperti membunuh diri, tetapi saya rasa rakyat perlu tahu bahawa PKR kita wujud untuk bawa suara rakyat.

"Maka keseluruhan pertembungan kali ini adalah berkenaan personaliti. Orang akan memilih antara Khalid atau Azmin, namun tidak lari dari persoalan personaliti yang pada saya tidak sihat.

“Sebab itu keputusan tersebut secara politiknya nampak tegang, tapi PKR lahir yang tidak menilai peluang kita," kata salah seorang pelopor gerakan politik baru dalam PKR itu, Rafizi Ramli.

Perebutan kuasa dalam PKR mula berlaku

Penampilan pasukan ini mengabsahkan hakikat bahawa perebutan kuasa sudah menyelimuti PKR. Calon Timbalan Presiden, Khalid Ibrahim, yang berulangkali menegaskan kehadirannya dalam politik bukan untuk berebut tempat dan darjat kini kelihatan ligat melobi dan berkempen.

Di tengah-tengah hiruk pikuk Pilihanraya Kecil (PRK) Kajang, beliau yang juga pengarah PKR untuk PRK berkenaan, sempat mengundang pemimpin PKR ke kediaman rasminya bagi mengisytiharkan hasrat bertanding Timbalan Presiden PKR Mei ini.

Beliau yang lebih banyak berkubu di Selangor dalam pilihan raya umum tahun lalu, tiba-tiba menjadi ahli politik yang gesit dan mula berkempen hingga ke Sabah dengan menggilap-gilap rekod sumbangannya bernilai jutaan ringgit kepada parti.

Penyandang jawatan, Azmin Ali, juga berusaha gigih mengingatkan ahli-ahli parti beliaulah tulang belakang parti yang ditubuhkan untuk meneruskan agenda reformasi Anwar Ibrahim.

Apapun, hakikatnya ialah, Saifuddin dan  juga rakan-rakannya sudah membelah perpaduan PKR dengan menawarkan pilihan ketiga selain kem Azmin dan Khalid. PKR sudah ada tiga puak.

Malah, kumpulan Saifuddin ini boleh dibaca sebagai pasukan arus perdana dalam PKR. Adalah nyata apa yang tidak disebut oleh Saifudin, Rafizi dan Nurul Izzah ialah “tauke” mereka ialah presiden parti, Wan Azizah Wan Ismail sendiri.

Puak baru muncul dapat restu Anwar Ibrahim

Kemunculan kumpulan ini sudah tentu mendapat restu Anwar Ibrahim. Kemungkinan beliau dipenjarakan jika gagal dalam rayuan kes liwatnya di Mahkamah Persekutuan sudah pasti memaksanya memikirkan siapakah yang patut digandingkan dengan Wan Azizah sebagai presiden.

Soal beliau mahu meneruskan hasrat untuk menjadi Presiden PKR bagi menunaikan impian isterinya Wan Azizah untuk bersara, besar kemungkinan tidak tercapai kerana penghakiman Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu membunuh peluang cita-citanya itu.

Namun yang penting kini Anwar tentu melihat perihal Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak serasi dengan Azmin bukan rahsia lagi. Meskipun Wan Azizah sendiri lebih cenderung kepada Khalid Ibrahim sebagai Timbalan, namun Khalid sudah terlalu kerap tidak boleh “berlaga angin” dengan Anwar.

Justeru tidak hairanlah jika sebagai jalan kompromi Wan Azizah terpaksa menerima calon pilihan Anwar untuk membantunya menguruskan PKR jika Anwar dipenjarakan. Beliau ialah Saifuddin Nasution Ismail.

Adalah wajar jika disimpulkan bahawa kumpulan Saifuddin ini sebenarnya membawa obor Wan Azizah. Sementara Wan Azizah adalah proksi Anwar Ibrahim. Sasaran kumpulan ini ialah mencantas “perosak keharmonian” parti – Azmin dan Khalid.

Sebenarnya tidak banyak pembaharuan dan reformasi yang berlaku dalam PKR sendiri. Ia hanyalah ulang-tayang episod bagaimana Anwar mengasaskan PKR tidak kira sama ada dari dalam atau luar penjara.

Cuma kali ini pelaku-pelaku dalam skrip politik Anwar mungkin tidak meliputi Azmin dan Khalid seperti mana gugurnya nama Dr Chandra Muzaffar Pillai dan Ezam Mohd Nor. Ia hanya mengesahkan bahawa dalam politik tidak rakan sejati atau musuh abadi.

Wednesday 9 April 2014

Gila !! Trend Bengkakkan Dahi Di Jepun


Aliran bengkak dahi menjadi kegilaan ramai wanita Jepun dan mendapat perhatian masyarakat di Negara Matahari Terbit itu.

Mereka melihat membengkakkan dahi dan membentuk ia seperti sebiji donut adalah kecantikan diri terkini untuk dicuba.

Tuesday 8 April 2014

APA MOTIF @AnwarIbrahim DISEBALIK #MAS #MH370


Sudah tentu banyak yang diketahui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung misteri kehilangan pesawat MAS MH370 sejak sebulan lalu sehingga berani memberitahu media asing bahawa masih ada lagi maklumat yang disorok oleh kerajaan.

Justeru demi ketelusan, sebagai seorang pembangkang yang bertanggungjawab, sewajarnya Anwar tidak perlu gusar dan tidak perlu teragak-agak untuk menghebahkan apakah maklumat-maklumat yang diketahuinya sudah dan sedang disembunyikan pemerintah Malaysia.

Ini kerana, bukan sahaja rakyat Malaysia, malah semua warga dunia ingin tahu  apakah yang sebenarnya berlaku kepada pesawat malang berkenaan. Jika tidak nanti pihak akan dituduh menyembunyikan maklumat ialah Anwar sendiri.

Jika hanya menebarkan dakwaan bahawa sepatutnya sistem radar jenis Marconi yang dibeli ketika beliau menjadi Menteri Kewangan hampir dua puluh tahun lalu itu adalah mampu mencerap dan mengesan apa terjadi pada MH370 adalah tidak memadai.

Apakah yang hendak dibidas Anwar itu ialah kegagalan sistem radar yang dia sendiri luluskan pembeliannya mencerap maklumat MH370 pada hari malang 8 Mac lalu kerana peralatan berkenaan gagal berfungsi?

Atau, adakah kegagalan Anwar mahu mengatakan bahawa ini berpunca daripada  kelalaian manusia? Maka atas sebab itu, Anwar mahu meletakkan kelemahan itu bulat-bulat ke atas bahu kerajaan?

Jika demikian apakah sudah jadi dengan penyenggaraan sistem radar yang beliau sendiri luluskan pembelian dahulu? Apakah dalam kontrak jual-belinya dengan syarikat Marconi tidak ada perjanjian penyenggaraan yang perlu dibuat terhadap peralatan radar berkenaan?

Jika sebaliknya ia berpunca daripada kelalaian atau ketidakcekapan pengendali sistem radar berkenaan, adakah Anwar sebenarnya mengalamatkan kesalahan kehilangan MH130 ke atas pihak penguasa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)?

Sebagai seorang yang mendakwa pejuang kebenaran, Anwar perlu bersikap jujur. Beliau juga perlu ikhlas memberitahu umum, maklumat apakah yang cuba disorok oleh kerajaan? Oleh kerana ini membabitkan kepentingan awam, maka Anwar wajib berkongsi maklumat apa yang diketahuinya dengan rakyat.

Anwar tidak boleh bersikap “lempar batu sembunyi tangan” dengan membuat tuduhan melalui media antarabangsa tanpa menjelaskan perkara apa dan maklumat apa yang cuba disembunyikan kerajaan.

Jika Anwar jujur dan bersikap intelek, tentu beliau tahu bahawa rakyat sudah bijak menilai. Bila berlaku tragedi ini, baru rakyat Malaysia sedar bahawa negara mempunyai ramai pakar penerbangan, teknologi satelit, kajian kelautan, aeroangkasa dan sebagainya.

Lantas jika Anwar boleh membantu rakyat dengan menjuruskan tuduhannya kepada maklumat mana dan apa yang menyebabkan kehilangan MH370 yang disorokkan kerajaan, sudah rakyat boleh berikhtiar sendiri untuk menimba pengetahuan pakar-pakar pelbagai ilmu penerbangan tempatan.

Selepas itu izinkanlah rakyat sendiri memutuskan sama ada dakwaan Anwar itu berasas atau tidak. Jika terbukti ada “kecurangan” di pihak kerajaan dalam menangani misteri MH370 ini, tentu Anwar maklum rakyat mampu menghukum kerajaan yang tidak telus begini.

Setidak-tidaknya jika Anwar benar-benar ada maklumat yang hanya beliau tahu berhubung isu ini, beliau patut berkongsi dengan pihak berkuasa untuk meleraikan misteri kehilangan pesawat yang menakjubkan dunia ini.

Dengan cara itu tentu auranya akan bertambah harum di mata rakyat Malaysia dan juga warga dunia. Peluangnya untuk memenangi kepercayaan rakyat, terutama pemimpin-pemimpin PAS, untuk memimpin Malaysia tentu lebih besar lagi.

Sikap mengacah-acah media barat dengan jawatan Ketua Pembangkang Malaysia untuk membisikkan bahawa ada konspirasi di kalangan kerajaan Malaysia berhubung kehilangan MH370 tanpa bukti dan alasan yang kukuh hanya membayangkan betapa terdesak dan oportunisnya Anwar Ibrahim ini.

Pertama, ia mengisyaratkan niat dan sikap buruk Anwar untuk mempolitikkan apa jua isu untuk meraih keuntungan politik.

Kedua, Anwar bolehlah diumpamakan seorang saudagar mimpi yang cuba meramalkan keburukan orang lain tanpa hujah dan bukti yang sahih.

Ketiga, Anwar boleh dilihat sebagai seorang yang langsung tidak patriotik dengan cuba memburukkan negara sendiri demi mendapat sanjungan media barat.

Keempat, mungkinkah Anwar ada maklumat yang lengkap kerana beliau dibekalkan dengan banyak informasi dan latar belakang misteri MH370?


Jika benar demikian, siapakah individu, pertubuhan atau negara yang Anwar bekerja keras untuk memburukkan kerajaan Malaysia? Atau, dengan perkataan lain, adakah Anwar kini adalah agen pihak tertentu yang ingin merosakkan nama baik Malaysia?

Tidak mungkinkah Anwar kini adalah tali-barut pihak yang cemburu dengan kejayaan pembangunan dan suara waras Malaysia untuk dunia?

Keadaan ini justeru menjadikan sukar bagi mana-mana pihak mengelak daripada bertanya, jika Anwar ada maklumat yang cuba disorokkan oleh kerajaan, daripada siapakah maklumat itu diperolehi?

Anwar bukan tiada pilihan media yang sesuai untuk mendedahkan maklumat yang dimilikinya. Beliau ialah panglima media sosial. Beliau boleh gunakan media siber mahupun media Pakatan Rakyat sendiri.

Sejak bilakah Harakah dan Suara Keadilan atau Roket jadi penyebar maklumat yang pemalu? Sebenarnya ini adalah satu peluang keemasan untuk membuktikan betapa tidak telusnya kerajaan Barisan Nasional. Mengapa Anwar keberatan menyambar peluang ini?

Dunia pun tahu betapa Anwar ini memang rapat dengan dunia barat dan paksi kuasa barat. Sebab itu mudahnya untuk beliau dijemput menjadi pensyarah di universiti tersohor seperti John Hopkin Universiti di Amerika Syarikat.

Rekod perkhidmatan Anwar dengan kerajaan juga menunjukkan beliau selesa dengan pemimpin-pemimpin Bank Dunia seperti Camdessus hingga sanggup berbalah dengan bekas bosnya, Dr Mahathir Mohamad.

Pentagon pun memberi penghormatan permaidani merah kepada  Anwar ketika beliau berkunjung ke sana. Malah hingga hari ini Anwar belum berhenti bercerita betapa canggihnya satelit Amerika Syarikat hingga beliau boleh menonton apa yang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman  secara langsung di pusat perancangan pertahanan Amerika itu.

Gelagat Anwar yang suka “menangguk di air keruh” ini menimbulkan banyak persoalan mengenai kesetiaan dan kecintaannya pada negara. Malah ia mengundang banyak persoalan mengenai apa hubungan Anwar dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Mungkin di antara yang ragu dengan pendirian politik Anwar ini ialah PAS. Adakah itu sebabnya PAS keberatan memperakukan Anwar sebagai bakal perdana menteri jika  Pakatan Rakyat menawan Putrajaya?

Di Selangor pun PAS nampaknya bertegas tidak mahu Anwar menukar menteri besar; tidak kira itu sebahagian daripada strategi “Langkah Kajang” untuk memastikan Pakatan Rakyat berjaya menakluki Putrajaya, atau tidak.

PAS juga nampaknya tidak mahu mengambil kira sama ada yang akan menggantikan menteri besar sedia ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, adalah Anwar Ibrahim sendiri atau isterinya, Wan Azizah Wan Ismail. Kecurigaan PAS terhadap siapa Anwar Ibrahim masih tebal. Ambillah iktibar, Anwar.

Gila !! Budak 9 Bulan Didakwa Ugut Kerajaan Pakistan


Seorang bayi lelaki berumur sembilan bulan di Pakistan didakwa oleh mahkamah atas kesalahan merancang pembunuhan, mengugut polis dan mencampuri urusan hal ehwal kerajaan.

Muhammad Musa Khan adalah salah seorang daripada lebih 30 individu berhadapan pertuduhan sama selepas satu serbuan menyasarkan pencuri gas dilakukan pihak berkuasa di bandar Lahore.

Bayi tersebut yang berada di pangkuan bapanya dilihat memegang botol susunya dan merengek sepanjang prosiding perbicaraan itu berlangsung.

Tuesday 1 April 2014

Lelaki Habiskan RM10.8 Juta Untuk Pelacur Sahaja? #Perghhh


Seorang pekerja bank yang sudah berkahwin dan mencuri lebih 2 juta pound (RM10.8 juta) dari Barclays serta membelanjakannya untuk pelacur dipenjara selama tujuh tahun.

John Skermer, 45, membuka akaun bank palsu dengan overdraf 1 juta pound (RM5.4 juta), sebelum menyalurkan wang terbabit ke dalam akaun peribadinya.

Beliau membelanjakan hampir kesemua wang terbabit untuk melanggan pelacur, malah berhabis sebanyak 1 juta pound untuk seorang pelacur saja.

Lelaki terbabit didakwa menghabiskan masa beberapa bulan bersama wanita Thailand yang dikenali sebagai Kookai, dengan makan angin ke London dari Cheshire dan menginap di hotel mewah serta makan di restoran terkemuka.