Sunday 27 April 2014

HUDUD : PAS-FOBIA , ISLAM-FOBIA ATAU UMNO-FOBIA


Seseorang muslim tidak wajar dipatuk dalam satu lubang yang sama tiga kali, pesan Rasulullah s.a.w. Mesej ini adalah peringatan supaya setiap muslim sentiasa berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Pesanan ini bersifat umum. Ia terpakai dalam semua aspek kehidupan, terutama jika membabitkan maruah agama, bangsa dan negara. Justeru dalam berpolitik setiap pemimpin muslim harus berikhtiar untuk mencapai kesilapan sifar dalam kepimpinannya.

Peringatan ini harus dita’kuli pemimpin-pemimpin PAS. Ini kerana setiap keputusan politik yang mereka ambil akan meninggalkan kesan besar pada citra dan maruah ummah.

Soal PAS tidak mahu lekang daripada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam di negara ini bukan perkara baru. Ini termasuklah perjuangan untuk melaksanakan hukum hudud.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menegaskan perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam dengan melaksanakan syariat Islam di Malaysia sudah termaktub sejak awal penubuhannya.

Sebab itu dari masa ke masa PAS akan terus membangkitkan soal menterjemahkan cita-cita menurut skala kuasa dan kemampuan politknya.

Terbaharu, ia mahu membentangkan usul persendirian di Dewan Rakyat untuk mendapat sokongan hukum hudud boleh dilaksanakan di Kelantan.

Hasrat PAS laksana hudud berdepan jalan sukar

Bagaimanapun belum pun PAS mengorak langkah ke arah itu penentang-penentang pelaksanaan hudud sudah membuat operasi untuk menghalang cita-cita PAS itu menjadi realiti.

Parti-parti komponen bukan Islam dalam Barisan Nasional telah mengikrarkan semangat “satu hati” mereka untuk tidak mahu menyokong usul berkenaan. Perihal mengapa mereka bertindak demikian boleh difahami – mereka tidak faham Islam.

Operasi itu segera digerakkan apabila ada ahli-ahli Umno yang mula bersuara untuk menyokong usul berkenaan di Parlimen. Sesungguhnya ini satu perubahan. Mungkin kerana sering dituduh menentang hukum Islam oleh PAS, sudah mula tergerak hati Umno untuk menyokong tindakan yang mereka yakin boleh mendatangkan pahala itu.

Namun yang menyedihkan kerabat Pakatan Rakyat – DAP dan PKR – bertegas tidak mahu menyokong usul rakannya itu walaupun PAS mahu membuktikan fadhilat hukum hudud itu besar dan baik untuk Malaysia jika dilaksanakan di Kelantan, negeri pimpinan PAS.

Apakah bangkangan PKR dan DAP ini didorong oleh kebimbangan jika hudud dilaksanakan, ia akan menjadi seperti sistem perbankan Islam yang mula diterima oleh pelbagai kaum dan agama kerana ciri keadilannya?

Lantas jika hudud berkesan, apakah akan terjadi pada perundangan sivil? Jika hudud lebih berupaya mengharmonikan masyarakat berbilang kaum dan agama tidakkah nanti ia akan menarik lebih ramai untuk mendekati Islam? Jika demikian bagaimana dengan perkembangan agama-agama lain?

Tidakkah ini Islamofobia namanya?

Atau, jika rakyat Malaysia teruja dengan hudud yang ditaja PAS tidakkah ini menjadi magnet kepada PAS untuk menarik lebih ramai pengundi berbanding PKR dan DAP?

Tidakkah itu PASfobia namanya?

Bukan sekali ini PAS mendapat tentangan daripada DAP, MCA, Gerakan, MIC dan juga PKR. Yang jelas, mereka tidak beromong kosong mahu menentang. Kini ia sudah berjaya mengumpul sokongan daripada parti tidak berasas Islam dari negeri ke negeri.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semua parti politik di Sabah bersetuju untuk menentang usul PAS itu. Beliau menasihatkan DAP supaya menyekat usaha hudud PAS.

Mengapa PAS tidak bertegas laksana hudud ketika berada dalam Umno?

PAS pernah bernaung di bawah payung politik Barisan Nasional demi perpaduan negara. Malangnya, ketika bekerjasama atas semangat kebangsaan itu PAS tidak pula menyuarakan hasratnya untuk melaksanakan hukum hudud.

Sebaliknya, PAS kemudian keluar dari BN kerana tidak ada persefahaman yang nyata dengan halatuju BN. Sasaran ketidak-sehaluan PAS dengan BN sebenarnya bersandar pada isu menentang Umno demi sokongan pengundi Melayu.

Bila Umno berpecah pada tahun 1987, PAS menganggapnya “jong pecah yu kenyang” dan segera menyambar peluang menghulurkan tangan kerjasama dengan kumpulan serpihan Umno melalui jenama  Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah.

Natijahnya, PAS berhasil menawan Kelantan pada pilihan raya umum 1990. Namun sedihnya sehingga 2014 PAS masih belum berhasil melaksanakan hukum hudud yang didakwa menjadi matlamat perjuangannya.

Kemudian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuka pintu politik kepada PAS untuk bekerjasama dengan DAP. Ini berjaya menafikan BN majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Kejayaan ini mengkagumkan PAS yang nampak inisiatif Anwar ini sebagai jalan  mencapai cita-citanya untuk membentuk negara Islam. Maka ia pun bersetuju untuk mematri hubungan lebih teguh dengan PKR dan DAP melalui dokumen Buku Jingga.

Hasrat PAS tidak mungkin terlaksana jika DAP dan PKR terus menentang

Namun itu hanya satu cara untuk memasung PAS dalam jerangkap politik supaya memadamkan impian Negara Islamnya. Negara Berkebajikan menjadi alternatifnya.

Bagaimanapun ahli-ahli PAS yang ikhlas dengan matlamat perjuangan parti berasa tiada banyak maknanya menegakkan sebuah negara berkebajikan tanpa perundangan Ilahi. Maka dengan takzim ia memohon pada PKR dan DAP untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Cerita selanjutnya sudah diketahui. PAS tidak boleh berbuat demikian tanpa restu DAP dan PKR. Itu hukum yang termaktub dalam perlembagaan Pakatan Rakyat berdasarkan Kitab Jingga.

Kembalilah pada al Quran dan Sunnah. Sudah berkali-kali PAS kena patukan politik DAP dan PKR. mengapa mahu laksana hukum Allah menurut kitab buatan manusia? Kenapa masih tidak serik lagi?

Sementara itu entah malu dikatakan menentang Islam atau sudah “terdidik” oleh tarbiyah PAS yang sentiasa istiqamah untuk melaksanakan hukum Islam, Umno mula menunjukkan kecenderungan mewariskan hukum hudud pada generasi muslim akan datang.

Apakah PAS pula masih dilanda virus Umno-fobia? Kini PAS dianugerahkan berada dalam keadaan paling strategik. Baik DAP dan PKR mahupun BN mahu menyuntingnya menjadi teman politik.

Namun yang pasti bersama DAP dan PKR ia haram melaksanakan hudud. Umno pula kelihatan terkapai-kapai mencari tapak untuk mengukuhkan jatidiri muslimnya. Hudud adalah satu formulanya. Sudikah PAS membimbingnya?

No comments:

Post a Comment

Admin blog Pendekar Melayu Ulung tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh disabitkan kesalahan akta Komunikasi dan Multimedia 2008.

Oleh itu, komen lah secara berhemah ya.