Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Tuesday, 20 May 2014

Hati-Hati Dengan Game Melayu #BonekaDAP


Ini tahun 1965. Di mana Lee Kuan Yew, pemimpin People Action Party (PAP) berkempen di kalangan orang Melayu dengan memakai songkok.

Bangsa kita terkenal dengan sifat kasihan dan mudah percaya. Apabila Kuan Yew pakai songkok, ya! Nampak tak PAP pun perjuangkan Melayu dan Islam?

Sunday, 27 April 2014

HUDUD : PAS-FOBIA , ISLAM-FOBIA ATAU UMNO-FOBIA


Seseorang muslim tidak wajar dipatuk dalam satu lubang yang sama tiga kali, pesan Rasulullah s.a.w. Mesej ini adalah peringatan supaya setiap muslim sentiasa berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Pesanan ini bersifat umum. Ia terpakai dalam semua aspek kehidupan, terutama jika membabitkan maruah agama, bangsa dan negara. Justeru dalam berpolitik setiap pemimpin muslim harus berikhtiar untuk mencapai kesilapan sifar dalam kepimpinannya.

Peringatan ini harus dita’kuli pemimpin-pemimpin PAS. Ini kerana setiap keputusan politik yang mereka ambil akan meninggalkan kesan besar pada citra dan maruah ummah.

Soal PAS tidak mahu lekang daripada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam di negara ini bukan perkara baru. Ini termasuklah perjuangan untuk melaksanakan hukum hudud.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menegaskan perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam dengan melaksanakan syariat Islam di Malaysia sudah termaktub sejak awal penubuhannya.

Sebab itu dari masa ke masa PAS akan terus membangkitkan soal menterjemahkan cita-cita menurut skala kuasa dan kemampuan politknya.

Terbaharu, ia mahu membentangkan usul persendirian di Dewan Rakyat untuk mendapat sokongan hukum hudud boleh dilaksanakan di Kelantan.

Hasrat PAS laksana hudud berdepan jalan sukar

Bagaimanapun belum pun PAS mengorak langkah ke arah itu penentang-penentang pelaksanaan hudud sudah membuat operasi untuk menghalang cita-cita PAS itu menjadi realiti.

Parti-parti komponen bukan Islam dalam Barisan Nasional telah mengikrarkan semangat “satu hati” mereka untuk tidak mahu menyokong usul berkenaan. Perihal mengapa mereka bertindak demikian boleh difahami – mereka tidak faham Islam.

Operasi itu segera digerakkan apabila ada ahli-ahli Umno yang mula bersuara untuk menyokong usul berkenaan di Parlimen. Sesungguhnya ini satu perubahan. Mungkin kerana sering dituduh menentang hukum Islam oleh PAS, sudah mula tergerak hati Umno untuk menyokong tindakan yang mereka yakin boleh mendatangkan pahala itu.

Namun yang menyedihkan kerabat Pakatan Rakyat – DAP dan PKR – bertegas tidak mahu menyokong usul rakannya itu walaupun PAS mahu membuktikan fadhilat hukum hudud itu besar dan baik untuk Malaysia jika dilaksanakan di Kelantan, negeri pimpinan PAS.

Apakah bangkangan PKR dan DAP ini didorong oleh kebimbangan jika hudud dilaksanakan, ia akan menjadi seperti sistem perbankan Islam yang mula diterima oleh pelbagai kaum dan agama kerana ciri keadilannya?

Lantas jika hudud berkesan, apakah akan terjadi pada perundangan sivil? Jika hudud lebih berupaya mengharmonikan masyarakat berbilang kaum dan agama tidakkah nanti ia akan menarik lebih ramai untuk mendekati Islam? Jika demikian bagaimana dengan perkembangan agama-agama lain?

Tidakkah ini Islamofobia namanya?

Atau, jika rakyat Malaysia teruja dengan hudud yang ditaja PAS tidakkah ini menjadi magnet kepada PAS untuk menarik lebih ramai pengundi berbanding PKR dan DAP?

Tidakkah itu PASfobia namanya?

Bukan sekali ini PAS mendapat tentangan daripada DAP, MCA, Gerakan, MIC dan juga PKR. Yang jelas, mereka tidak beromong kosong mahu menentang. Kini ia sudah berjaya mengumpul sokongan daripada parti tidak berasas Islam dari negeri ke negeri.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semua parti politik di Sabah bersetuju untuk menentang usul PAS itu. Beliau menasihatkan DAP supaya menyekat usaha hudud PAS.

Mengapa PAS tidak bertegas laksana hudud ketika berada dalam Umno?

PAS pernah bernaung di bawah payung politik Barisan Nasional demi perpaduan negara. Malangnya, ketika bekerjasama atas semangat kebangsaan itu PAS tidak pula menyuarakan hasratnya untuk melaksanakan hukum hudud.

Sebaliknya, PAS kemudian keluar dari BN kerana tidak ada persefahaman yang nyata dengan halatuju BN. Sasaran ketidak-sehaluan PAS dengan BN sebenarnya bersandar pada isu menentang Umno demi sokongan pengundi Melayu.

Bila Umno berpecah pada tahun 1987, PAS menganggapnya “jong pecah yu kenyang” dan segera menyambar peluang menghulurkan tangan kerjasama dengan kumpulan serpihan Umno melalui jenama  Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah.

Natijahnya, PAS berhasil menawan Kelantan pada pilihan raya umum 1990. Namun sedihnya sehingga 2014 PAS masih belum berhasil melaksanakan hukum hudud yang didakwa menjadi matlamat perjuangannya.

Kemudian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuka pintu politik kepada PAS untuk bekerjasama dengan DAP. Ini berjaya menafikan BN majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Kejayaan ini mengkagumkan PAS yang nampak inisiatif Anwar ini sebagai jalan  mencapai cita-citanya untuk membentuk negara Islam. Maka ia pun bersetuju untuk mematri hubungan lebih teguh dengan PKR dan DAP melalui dokumen Buku Jingga.

Hasrat PAS tidak mungkin terlaksana jika DAP dan PKR terus menentang

Namun itu hanya satu cara untuk memasung PAS dalam jerangkap politik supaya memadamkan impian Negara Islamnya. Negara Berkebajikan menjadi alternatifnya.

Bagaimanapun ahli-ahli PAS yang ikhlas dengan matlamat perjuangan parti berasa tiada banyak maknanya menegakkan sebuah negara berkebajikan tanpa perundangan Ilahi. Maka dengan takzim ia memohon pada PKR dan DAP untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Cerita selanjutnya sudah diketahui. PAS tidak boleh berbuat demikian tanpa restu DAP dan PKR. Itu hukum yang termaktub dalam perlembagaan Pakatan Rakyat berdasarkan Kitab Jingga.

Kembalilah pada al Quran dan Sunnah. Sudah berkali-kali PAS kena patukan politik DAP dan PKR. mengapa mahu laksana hukum Allah menurut kitab buatan manusia? Kenapa masih tidak serik lagi?

Sementara itu entah malu dikatakan menentang Islam atau sudah “terdidik” oleh tarbiyah PAS yang sentiasa istiqamah untuk melaksanakan hukum Islam, Umno mula menunjukkan kecenderungan mewariskan hukum hudud pada generasi muslim akan datang.

Apakah PAS pula masih dilanda virus Umno-fobia? Kini PAS dianugerahkan berada dalam keadaan paling strategik. Baik DAP dan PKR mahupun BN mahu menyuntingnya menjadi teman politik.

Namun yang pasti bersama DAP dan PKR ia haram melaksanakan hudud. Umno pula kelihatan terkapai-kapai mencari tapak untuk mengukuhkan jatidiri muslimnya. Hudud adalah satu formulanya. Sudikah PAS membimbingnya?

Tuesday, 8 April 2014

APA MOTIF @AnwarIbrahim DISEBALIK #MAS #MH370


Sudah tentu banyak yang diketahui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung misteri kehilangan pesawat MAS MH370 sejak sebulan lalu sehingga berani memberitahu media asing bahawa masih ada lagi maklumat yang disorok oleh kerajaan.

Justeru demi ketelusan, sebagai seorang pembangkang yang bertanggungjawab, sewajarnya Anwar tidak perlu gusar dan tidak perlu teragak-agak untuk menghebahkan apakah maklumat-maklumat yang diketahuinya sudah dan sedang disembunyikan pemerintah Malaysia.

Ini kerana, bukan sahaja rakyat Malaysia, malah semua warga dunia ingin tahu  apakah yang sebenarnya berlaku kepada pesawat malang berkenaan. Jika tidak nanti pihak akan dituduh menyembunyikan maklumat ialah Anwar sendiri.

Jika hanya menebarkan dakwaan bahawa sepatutnya sistem radar jenis Marconi yang dibeli ketika beliau menjadi Menteri Kewangan hampir dua puluh tahun lalu itu adalah mampu mencerap dan mengesan apa terjadi pada MH370 adalah tidak memadai.

Apakah yang hendak dibidas Anwar itu ialah kegagalan sistem radar yang dia sendiri luluskan pembeliannya mencerap maklumat MH370 pada hari malang 8 Mac lalu kerana peralatan berkenaan gagal berfungsi?

Atau, adakah kegagalan Anwar mahu mengatakan bahawa ini berpunca daripada  kelalaian manusia? Maka atas sebab itu, Anwar mahu meletakkan kelemahan itu bulat-bulat ke atas bahu kerajaan?

Jika demikian apakah sudah jadi dengan penyenggaraan sistem radar yang beliau sendiri luluskan pembelian dahulu? Apakah dalam kontrak jual-belinya dengan syarikat Marconi tidak ada perjanjian penyenggaraan yang perlu dibuat terhadap peralatan radar berkenaan?

Jika sebaliknya ia berpunca daripada kelalaian atau ketidakcekapan pengendali sistem radar berkenaan, adakah Anwar sebenarnya mengalamatkan kesalahan kehilangan MH130 ke atas pihak penguasa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)?

Sebagai seorang yang mendakwa pejuang kebenaran, Anwar perlu bersikap jujur. Beliau juga perlu ikhlas memberitahu umum, maklumat apakah yang cuba disorok oleh kerajaan? Oleh kerana ini membabitkan kepentingan awam, maka Anwar wajib berkongsi maklumat apa yang diketahuinya dengan rakyat.

Anwar tidak boleh bersikap “lempar batu sembunyi tangan” dengan membuat tuduhan melalui media antarabangsa tanpa menjelaskan perkara apa dan maklumat apa yang cuba disembunyikan kerajaan.

Jika Anwar jujur dan bersikap intelek, tentu beliau tahu bahawa rakyat sudah bijak menilai. Bila berlaku tragedi ini, baru rakyat Malaysia sedar bahawa negara mempunyai ramai pakar penerbangan, teknologi satelit, kajian kelautan, aeroangkasa dan sebagainya.

Lantas jika Anwar boleh membantu rakyat dengan menjuruskan tuduhannya kepada maklumat mana dan apa yang menyebabkan kehilangan MH370 yang disorokkan kerajaan, sudah rakyat boleh berikhtiar sendiri untuk menimba pengetahuan pakar-pakar pelbagai ilmu penerbangan tempatan.

Selepas itu izinkanlah rakyat sendiri memutuskan sama ada dakwaan Anwar itu berasas atau tidak. Jika terbukti ada “kecurangan” di pihak kerajaan dalam menangani misteri MH370 ini, tentu Anwar maklum rakyat mampu menghukum kerajaan yang tidak telus begini.

Setidak-tidaknya jika Anwar benar-benar ada maklumat yang hanya beliau tahu berhubung isu ini, beliau patut berkongsi dengan pihak berkuasa untuk meleraikan misteri kehilangan pesawat yang menakjubkan dunia ini.

Dengan cara itu tentu auranya akan bertambah harum di mata rakyat Malaysia dan juga warga dunia. Peluangnya untuk memenangi kepercayaan rakyat, terutama pemimpin-pemimpin PAS, untuk memimpin Malaysia tentu lebih besar lagi.

Sikap mengacah-acah media barat dengan jawatan Ketua Pembangkang Malaysia untuk membisikkan bahawa ada konspirasi di kalangan kerajaan Malaysia berhubung kehilangan MH370 tanpa bukti dan alasan yang kukuh hanya membayangkan betapa terdesak dan oportunisnya Anwar Ibrahim ini.

Pertama, ia mengisyaratkan niat dan sikap buruk Anwar untuk mempolitikkan apa jua isu untuk meraih keuntungan politik.

Kedua, Anwar bolehlah diumpamakan seorang saudagar mimpi yang cuba meramalkan keburukan orang lain tanpa hujah dan bukti yang sahih.

Ketiga, Anwar boleh dilihat sebagai seorang yang langsung tidak patriotik dengan cuba memburukkan negara sendiri demi mendapat sanjungan media barat.

Keempat, mungkinkah Anwar ada maklumat yang lengkap kerana beliau dibekalkan dengan banyak informasi dan latar belakang misteri MH370?


Jika benar demikian, siapakah individu, pertubuhan atau negara yang Anwar bekerja keras untuk memburukkan kerajaan Malaysia? Atau, dengan perkataan lain, adakah Anwar kini adalah agen pihak tertentu yang ingin merosakkan nama baik Malaysia?

Tidak mungkinkah Anwar kini adalah tali-barut pihak yang cemburu dengan kejayaan pembangunan dan suara waras Malaysia untuk dunia?

Keadaan ini justeru menjadikan sukar bagi mana-mana pihak mengelak daripada bertanya, jika Anwar ada maklumat yang cuba disorokkan oleh kerajaan, daripada siapakah maklumat itu diperolehi?

Anwar bukan tiada pilihan media yang sesuai untuk mendedahkan maklumat yang dimilikinya. Beliau ialah panglima media sosial. Beliau boleh gunakan media siber mahupun media Pakatan Rakyat sendiri.

Sejak bilakah Harakah dan Suara Keadilan atau Roket jadi penyebar maklumat yang pemalu? Sebenarnya ini adalah satu peluang keemasan untuk membuktikan betapa tidak telusnya kerajaan Barisan Nasional. Mengapa Anwar keberatan menyambar peluang ini?

Dunia pun tahu betapa Anwar ini memang rapat dengan dunia barat dan paksi kuasa barat. Sebab itu mudahnya untuk beliau dijemput menjadi pensyarah di universiti tersohor seperti John Hopkin Universiti di Amerika Syarikat.

Rekod perkhidmatan Anwar dengan kerajaan juga menunjukkan beliau selesa dengan pemimpin-pemimpin Bank Dunia seperti Camdessus hingga sanggup berbalah dengan bekas bosnya, Dr Mahathir Mohamad.

Pentagon pun memberi penghormatan permaidani merah kepada  Anwar ketika beliau berkunjung ke sana. Malah hingga hari ini Anwar belum berhenti bercerita betapa canggihnya satelit Amerika Syarikat hingga beliau boleh menonton apa yang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman  secara langsung di pusat perancangan pertahanan Amerika itu.

Gelagat Anwar yang suka “menangguk di air keruh” ini menimbulkan banyak persoalan mengenai kesetiaan dan kecintaannya pada negara. Malah ia mengundang banyak persoalan mengenai apa hubungan Anwar dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Mungkin di antara yang ragu dengan pendirian politik Anwar ini ialah PAS. Adakah itu sebabnya PAS keberatan memperakukan Anwar sebagai bakal perdana menteri jika  Pakatan Rakyat menawan Putrajaya?

Di Selangor pun PAS nampaknya bertegas tidak mahu Anwar menukar menteri besar; tidak kira itu sebahagian daripada strategi “Langkah Kajang” untuk memastikan Pakatan Rakyat berjaya menakluki Putrajaya, atau tidak.

PAS juga nampaknya tidak mahu mengambil kira sama ada yang akan menggantikan menteri besar sedia ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, adalah Anwar Ibrahim sendiri atau isterinya, Wan Azizah Wan Ismail. Kecurigaan PAS terhadap siapa Anwar Ibrahim masih tebal. Ambillah iktibar, Anwar.

Sunday, 16 March 2014

MAMPU #WAWI4KAJANG KAWAL KEGANASAN AZMIN ALI


Sempena Pilihanraya Kecil Kajang, Malaysian Insider telah memaparkan wawancara bersama calon PKR, Dato’ Seri Wan Azizah yang bertajuk ‘Kenapa Saya Menggantikan Anwar Sekali Lagi’.

Jika wawancara itu diharapkan dapat menaikkan imej Wan Azizah serta menarik sokongan terhadapnya, maka ia pastinya gagal sekiranya pengundi dapat berfikir dengan rasional.

Ini kerana Wan Azizah telah secara jelas menyatakan yang beliau sebenarnya kurang berminat atau ‘berat’ untuk aktif berpolitik setelah menyerahkan kerusinya di Permatang Pauh kepada Anwar. Kenyataan ini jelas memperlihatkan sikap beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana terus menjadi Presiden parti walaupun pada hakikatnya beliau ‘sudah tidak ada hati’.

Secara tidak langsung, Wan Azizah telah mengesahkan bahawa beliau hanyalah boneka dan tidak mempunyai fungsi apa-apa melainkan sebagai lambang penguasaan Anwar Ibrahim di dalam PKR.

Wan Azizah juga menjelaskan bahawa beliau tidak menyangka yang beliau akan dicalonkan di Kajang. Alasannya ialah beliau telah tidak terlibat dalam perbincangan memandangkan namanya disebut sebagai calon. Kedua kenyataan ini jelas tidak konsisten atau bercanggah sesama sendiri. Mana satu yang betul, iaitu beliau tidak tahu dan tidak sangka, atau beliau sebenarnya tahu?

Apapun, kenyataan ini mengesahkan bahawa Wan Azizah adalah seorang Presiden parti yang tidak tahu apa-apa sehinggakan pencalonan untuk Pilihanraya Kecil juga tidak dirujuk kepadanya dan bukanlah keputusannya.

Menurut Wan Azizah, objektif bertanding di Kajang ialah Putrajaya. Strateginya ialah untuk memperlihatkan pentadbiran yang baik di Selangor sebagai bukti kelayakan PR untuk menjadi pemerintah. Kenyataan ini memperlihatkan bahawa Wan Azizah mahupun PR langsung tidak punya apa-apa perancangan untuk Kajang. Niat parti itu mengadakan PRK hanyalah untuk berpolitik dan menawan Putrajaya dan tidak sekali-kali melibatkan kesejahteraan rakyat Kajang.

Ini dibuktikan lagi melalui kenyataan Wan Azizah seterusnya iaitu bahawa beliau percaya akan mendapat sokongan orang-orang Melayu atas dasar ‘ketidakadilan’ keputusan mahkamah terhadap suaminya.

Maka jelaslah, Wan Azizah bertanding sekadar untuk meminta rakyat menyokong suaminya dan bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Akhir sekali, Wan Azizah ditanya apakah beliau akan menjadi ‘pendamai’ antara Khalid dan Azmin? Jawapan Wan Azizah ialah beliau tidak tahu. Jawapan ini sekali gus menghancurkan terus kredibiliti beliau sebagai pemimpin.

Setiap jawapan yang diberikan oleh Wan Azizah kepada Malaysian Insider di dalam wawancara ini hanya membuktikan bahawa beliau sememangnya tidak wajar dipilih sebagai ADUN. Hakikatnya, tempat Wan Azizah adalah di rumah, sebagai seorang surirumah, sejak dari awal lagi. Beliau tidak harus menjadi Presiden PKR dan tidak harus menjadi wakil rakyat bagi mana-mana kawasan pun. Apatah lagi jika ingin menjadi Menteri Besar Selangor.

Selama ini Wan Azizah hanya mengikut sahaja arahan suaminya. Beliau meletak jawatan bila disuruh, bertanding bila disuruh dan pastinya beliau tidak pernah memberi arahan dan tidak pernah membuat keputusan dalam urusan partinya. Oleh itu, memilih Wan Azizah sebagai ADUN bukan sahaja tidak adil buat penduduk Kajang, tetapi juga untuk dirinya sendiri.

Wan Azizah tidak boleh memimpin kerana beliau sentiasa dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Persoalannya, siapakah yang akan memimpinnya sekiranya Anwar ke penjara nanti?