Friday 11 April 2014

POLITIK LIMAU PURUT TIGA SERANGKAI CIPTAAN @anwaribrahim


Benarkah pertelagahan di antara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dengan satu-satunya Menteri Besar parti itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah meluap menjadi satu “ancaman” pula kepada kewibawaan parti itu sendiri?

Lantaran itu, wajarkah disimpulkan bahawa demi kelangsungan PKR kedua-dua pemimpin berkenaan patut digugurkan sahaja daripada saf pimpinan parti?

Sehubungan itu tidakkah terlalu awal (atau mungkin terlalu muda) bagi PKR untuk menemui jalan buntu menguruskan krisis kepimpinannya sehingga perlu memugar semula barisan pimpinan yang ada dan menggantikannya dengan kem politik baharu?

Demikianlah dilema Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru berusia lima belas tahun. Adakah rombakan besar-besaran sebegini diperlukan demi mengelak keruntuhan semangat dan kepercayaan ahli dan penyokong terhadap wibawa kepimpinannya?

Ataukah, adakah ini satu lagi gimik politik untuk mempamerkan betapa demokratiknya dan dinamiknya PKR bagi menebus “kegawatan” yang gagal ditangani dengan  berkesan oleh ikon mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Muncul puak baru dalam PKR

Muncul satu pola politik alternatif dalam PKR untuk “mensucikan kembali” perjuangannya yang semakin tersasar daripada landasan perjuangannya. Ribut berebut kedudukan dan tempat sudah mewarnai citra politik PKR.

Sayangnya, kumpulan ini tidak memberi nama khas kepada kehadiran mereka dalam polemik kepemimpinan PKR. Kem Saifuddin Nasution Ismail, Rafizi Ramli, dan Nurul Izzah Anwar menawarkan diri sebagai pasukan yang akan “membersihkan parti” daripada politik kepentingan peribadi.

"Saya rasa PKR kena pergi jauh dari isu pertembungan personaliti. Sesetengah orang mungkin berselindung dalam hal ini sedangkan pada saya parti ini lebih besar dan milik rakyat. Kita perlu kembali kepada soal-soal rakyat.

"Kebelakangan ini oleh kerana ada pertembungan personaliti antara Azmin dan Khalid, pada saya ia tidak akan membantu rakyat. Walaupun saya memilih kerjasama ini bakal menongkah arus dan dimaklumkan bahawa tindakan ini seperti membunuh diri, tetapi saya rasa rakyat perlu tahu bahawa PKR kita wujud untuk bawa suara rakyat.

"Maka keseluruhan pertembungan kali ini adalah berkenaan personaliti. Orang akan memilih antara Khalid atau Azmin, namun tidak lari dari persoalan personaliti yang pada saya tidak sihat.

“Sebab itu keputusan tersebut secara politiknya nampak tegang, tapi PKR lahir yang tidak menilai peluang kita," kata salah seorang pelopor gerakan politik baru dalam PKR itu, Rafizi Ramli.

Perebutan kuasa dalam PKR mula berlaku

Penampilan pasukan ini mengabsahkan hakikat bahawa perebutan kuasa sudah menyelimuti PKR. Calon Timbalan Presiden, Khalid Ibrahim, yang berulangkali menegaskan kehadirannya dalam politik bukan untuk berebut tempat dan darjat kini kelihatan ligat melobi dan berkempen.

Di tengah-tengah hiruk pikuk Pilihanraya Kecil (PRK) Kajang, beliau yang juga pengarah PKR untuk PRK berkenaan, sempat mengundang pemimpin PKR ke kediaman rasminya bagi mengisytiharkan hasrat bertanding Timbalan Presiden PKR Mei ini.

Beliau yang lebih banyak berkubu di Selangor dalam pilihan raya umum tahun lalu, tiba-tiba menjadi ahli politik yang gesit dan mula berkempen hingga ke Sabah dengan menggilap-gilap rekod sumbangannya bernilai jutaan ringgit kepada parti.

Penyandang jawatan, Azmin Ali, juga berusaha gigih mengingatkan ahli-ahli parti beliaulah tulang belakang parti yang ditubuhkan untuk meneruskan agenda reformasi Anwar Ibrahim.

Apapun, hakikatnya ialah, Saifuddin dan  juga rakan-rakannya sudah membelah perpaduan PKR dengan menawarkan pilihan ketiga selain kem Azmin dan Khalid. PKR sudah ada tiga puak.

Malah, kumpulan Saifuddin ini boleh dibaca sebagai pasukan arus perdana dalam PKR. Adalah nyata apa yang tidak disebut oleh Saifudin, Rafizi dan Nurul Izzah ialah “tauke” mereka ialah presiden parti, Wan Azizah Wan Ismail sendiri.

Puak baru muncul dapat restu Anwar Ibrahim

Kemunculan kumpulan ini sudah tentu mendapat restu Anwar Ibrahim. Kemungkinan beliau dipenjarakan jika gagal dalam rayuan kes liwatnya di Mahkamah Persekutuan sudah pasti memaksanya memikirkan siapakah yang patut digandingkan dengan Wan Azizah sebagai presiden.

Soal beliau mahu meneruskan hasrat untuk menjadi Presiden PKR bagi menunaikan impian isterinya Wan Azizah untuk bersara, besar kemungkinan tidak tercapai kerana penghakiman Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu membunuh peluang cita-citanya itu.

Namun yang penting kini Anwar tentu melihat perihal Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak serasi dengan Azmin bukan rahsia lagi. Meskipun Wan Azizah sendiri lebih cenderung kepada Khalid Ibrahim sebagai Timbalan, namun Khalid sudah terlalu kerap tidak boleh “berlaga angin” dengan Anwar.

Justeru tidak hairanlah jika sebagai jalan kompromi Wan Azizah terpaksa menerima calon pilihan Anwar untuk membantunya menguruskan PKR jika Anwar dipenjarakan. Beliau ialah Saifuddin Nasution Ismail.

Adalah wajar jika disimpulkan bahawa kumpulan Saifuddin ini sebenarnya membawa obor Wan Azizah. Sementara Wan Azizah adalah proksi Anwar Ibrahim. Sasaran kumpulan ini ialah mencantas “perosak keharmonian” parti – Azmin dan Khalid.

Sebenarnya tidak banyak pembaharuan dan reformasi yang berlaku dalam PKR sendiri. Ia hanyalah ulang-tayang episod bagaimana Anwar mengasaskan PKR tidak kira sama ada dari dalam atau luar penjara.

Cuma kali ini pelaku-pelaku dalam skrip politik Anwar mungkin tidak meliputi Azmin dan Khalid seperti mana gugurnya nama Dr Chandra Muzaffar Pillai dan Ezam Mohd Nor. Ia hanya mengesahkan bahawa dalam politik tidak rakan sejati atau musuh abadi.

No comments:

Post a Comment

Admin blog Pendekar Melayu Ulung tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh disabitkan kesalahan akta Komunikasi dan Multimedia 2008.

Oleh itu, komen lah secara berhemah ya.