Semacam ada gerakan subversif yang mahu menyemai kebencian dan menyemarakkan semangat anti patriotisme dikalangan rakyat sedang dijalankan oleh segelintir poli'tikus' pembaiki labu air.
Biasanya gerakan mereka bermula dengan polemik mempertikaikan rekabentuk bendera kebangsaan, Jalur Gemilang yang acapkali cuba dikaitkan dengan bendera Amerika Syarikat hanya semata-mata beberapa warnanya sama.
Sedangkan sebuah negara lain di Afrika iaitu Liberia, benderanya juga seakan sama seperti bendera Amerika namun tidak pernah ianya menjadi polemik sehingga menyebabkan hilang rasa hormat rakyat terhadap panji kemerdekaan negara mereka.
Malah Iran yang sentiasa seringkali dipuja puji oleh pembangkang khususnya PAS juga memiliki rekabentuk bendera yang hampir sama seperti India, cuma berbeza dari segi warna merah dan oren serta kedudukan atas bawah warna hijau, tidak pula pernah pemimpin pembangkang di negara tersebut menjadikannya pertikaian.
Demikian jua dengan Syiria, Iraq dan Yemen, jalur merah putih dan hitam melintangnya sama yang berbeza cuma kedudukan objek ditengah lajur putih sahaja pun tidak sesekali rakyat pernah tersilap mengibarkan bendera, malah tidak juga hilang kecintaan mereka pada ibu pertiwi.
Begitu juga dengan jiran kita Indonesia dan Singapura, sekalipun bendera mereka memiliki jalur warna merah putih sama seperti Poland, pantang sekali untuk mereka menghina panji negara masing-masing apatah lagi untuk merasa segan untuk mengibarkannya.
Tapi di Malaysia yang tercinta ini, kita memiliki terlampau ramai politikus yang didukung oleh segelintir rakyat yang tiada semangat kecintaan pada negara yang begitu gemar memperlekehkan simbol kebesaran negara sendiri.
Dalam pada mereka seringkali membandingkan bendera kita dengan bendera Amerika sambil memperlekehkan maruah kemerdekaan negara, di masa yang sama mereka jugalah yang acapkali mendabik dada memuji sistem demokrasi Amerika dan meminta kerajaan mencontohi kebebasan politik ala Amerika. Kontradiks.
Jika pada tahun lepas (2011) pertikaian terhadap bendera negara kita hangat diperkatakan gara-gara kenyataan anti patriotisme oleh M.Manoharan, tahun ini politikus yang sama mempertikaikan pula pengorbanan jaguh badminton yang berpenat lelah cuba mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Tidak lupa juga kontroversi ceramah Mat Sabu pada tahun 2011 yang secara terbuka pernah mengheret isu Jalur Gemilang dan lagu Negaraku diikuti sanjungannya pada Mat Indera komunis yang baginya adalah pejuang kemerdekaan sebenar berbanding pahlawan negara yang menjadi mangsa kekejaman Mat Indera di Bukit Kepong.
Seperti sengaja mahu merancakkan lagi gerakan anti patriotisme, dalam tahun ini pula seorang lagi politikus dari PAS, Nizar Jamaluddin turut berkongsi nada sama-sama mengambil bahagian melabelkan penghinaan terhadap bendera negara sebagai jalur malang.
Baru beberapa ketika berlalu, kartunis pro pembangkang yang bernama Zunar pula tanpa sedikit pun rasa bersalah telah dengan angkuh dan sombong melakarkan karikatur yang memperlekehkan panji kemerdekaan negara.
Dan seperti biasa, para penyokong pembangkang akan berusaha sedaya upaya cuba menjustifikasikan penghinaan tersebut sebagai satu kewajaran, sedangkan selama ini merekalah yang bersungguh benar mahu merampas tampuk kekuasaan negara yang berpanjikan Jalur Gemilang yang mereka hina itu.
Langsung tak terdetik barangkali di nurani masing-masing betapa polemik yang mereka timbulkan hasil kenyataan anti kenegaraan itu berkait langsung dengan maruah anak bangsa dan tanahair.
Melihat pada susun atur dan corak serangan terbuka terhadap simbol, lambang dan sejarah kemerdekaan negara, pastinya tidak sukar untuk kita membuat satu andaian sememangnya wujud gerakan anti patriotisme dikalangan politikus pembangkang.
Tentu saja tujuan mereka mahu seboleh mungkin mengikis semangat patriotisme dikalangan hamba rakyat, bila ianya berjaya dilakukan barangkali mudah untuk pembangkang mencucuk jarum kebencian bagi mencapai angan-angan mereka untuk merampas pemerintahan negara ini.
Tatkala ramai pemimpin politik di negara lain bertungkus lumus melakukan amal bakti dan menabur jasa demi cinta mereka pada negara sekalipun masing-masing berbeza fahaman politik, di negara kita sebaliknya berlaku.
Politikus pembangkang Malaysia kelihatan semakin selesa menjalankan gerakan anti kenegaraan samada secara sedar atau tidak, menjurus kepada kepentingan sempit tanpa mengira impaknya bakal memudahkan musuh luar mengambil yang bakal menjahanamkan tanahair tercinta.
Oleh itu, semua rakyat Malaysia yang masih menyimpan perasaan cintakan ibu pertiwi, bangunlah segera mempertahankan maruah tanahair ini dari terus dinodai oleh politikus haprak yang rendah nilai patriotismenya.
Tanah bertuah ini baik buruknya, lebih atau kurangnya waima ditimpa hujan batu sekalipun sepatutnya kita sama-sama terus mempertahankan maruahnya kerana disinilah bumi yang kita pijak dan selamanya akan kita junjung.
Update via BlackBerry® Smartphone Powered By UMNO
No comments:
Post a Comment
Admin blog Pendekar Melayu Ulung tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh disabitkan kesalahan akta Komunikasi dan Multimedia 2008.
Oleh itu, komen lah secara berhemah ya.