Thursday, 16 August 2012

Kesan Besar Sikap Pemandu Jalan Raya



Terdapat banyak kejadian yang dianggap kecil tetapi apabila dilakukan atau tidak diambil peduli kerapkali mengundang masalah, malah boleh membawa padah yang membuatkan kita menyesal sepanjang hayat. Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan ini, kerjaya mahu pun perjuangan yang tertentu, kita kerap abaikan perkara-perkara yang dianggap remeh, namun berpotensi untuk menjadi besar.

Apabila memandu kereta baru, berjenama hebat sesetengah orang cuba mengujinya di jalan raya dengan kelajuan tinggi. Kita jangka kita cekap dan mampu mengawalnya apatah lagi kereta baru yang canggih teknologinya dan mampu mengelak kerosakan, tetapi apabila terbabas, kereta dan diri kita mungkin selamat, tetapi pengguna jalan raya lain mungkin mendapat kesan dan akibatnya. Jalan raya akan sesak teruk dan padahnya dirasai sama oleh orang lain.

Pada musim perayaan ini, kita memandu dan tergesa-gesa untuk cepat sampai destinasi. Kita cuba mengambil jalan mudah dengan teknik pemanduan yang kita sangka cekap dan hebat. Kita memotong di sana sini tanpa mengira selekoh bahaya atau kesesakan, malah juga menggunakan laluan kecemasan. Siapa tahu, yang akan tiba di destinasi kita hanyalah jenazah yang terbujur kaku, tangisan sanak saudara pada pagi yang sepatutnya disambut gembira dan bahagia dan juga menyebabkan kesesakan lebuh raya atau jalan raya yang di luar jangkaan.

Kita tidak pernah serik dengan pelbagai berita dan foto ngeri kemalangan jalan raya, kecacatan dan pelbagai kerosakan kerana kita ambil mudah. Betul, malang tidak berbau, tetapi jika kita yang mengundangnya, kita hanya menyusahkan diri dan keluarga serta mereka yang menyayangi kita, tetapi juga orang lain. Memandu dalam keadaan mengantuk, tidak sabar, berlumba, laju yang keterlaluan, mengambil mudah dan mementingkan diri dan banyak lagi yang kita lakukan yang sebenarnya mengundang padah buat diri sendiri dan orang lain.

Kita berlumba-lumba di jalan raya, mengharungi segala susah payah dan tekanan perasaan untuk balik kampung bertemu ibu bapa dan sanak saudara. Malangnya apabila tiba di kampung halaman anak-anak, malah kita sendiri pun memberi lebih banyak masa melayan telefon bimbit dengan pelbagai urusan dan media sosial, terperuk melayan pelbagai tayangan menarik di televisyen dan pelbagai lagi, daripada benar-benar mengambil masa dari kesempatan yang ada untuk mengukuhkan silaturrahim, berkenalan dengan sanak saudara yang tidak pernah ditemui atau melayan karenah ibu bapa yang telah tua dan ingin sedikit perhatian kita.

Kita kata, kita adalah masyarakat yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Tetapi hari ini anak-anak muda kita yang masih belajar di kolej dihukum mahkamah kerana memaki hamun pihak berkuasa. Kita sendiri pun mencarut di mana sahaja termasuk di dalam kereta yang terperangkap dalam kesesakan. Anak-anak memerhatikan kita dan kitalah cerminannya.

Ramadan dan Syawal yang akan datang dianggap bulan seribu sujud dan penuh kemuliaan, namun sikap dan kasih sayang kita kepada orang lain jarang kita nilaikan. Kita terus memandang kecil hal-hal yang merosakkan masa hadapan masyarakat dan negara. Kita tidak perduli nasib jiran tetangga dan mereka yang memerlukan. Kita jarang melihat nasib mereka dalam kalangan keluarga sendiri yang memerlukan bantuan dan sokongan. Kita lupa saudara-saudara kita yang menghidap penyakit berbahaya termasuk HIV AIDS, penagihan najis dadah dan lain-lainnya yang tersisih. Kita hina kesilapan mereka dan keluarga mereka yang dilanda musibah jadi bahan umpatan dan sesetengahnya jenazah pun enggan diuruskan.

Lalu apabila orang lain yang datang hulurkan bantuan dan sokongan, terutamanya dari kumpulan agama lain, kita marah dan lihat dengan prasangka. Kita bercerita pula tentang hal-hal yang boleh menggugat keselamatan negara dan keharmonian sesama rakyat yang ada. Kita adu domba dan menyalahkan sesiapa sahaja termasuk kerajaan dan pihak berkuasa. Kita lupa melihat tanggungjawab dan amanah yang dipikul bersama, yang harus bermula dari diri sendiri malah juga institusi agama kita.

Demikian juga apabila kita melihat hal-hal yang tidak bermoral yang berlaku di sekitar kita. Orang yang menari separuh bogel di tiang. Orang menganjur pesta arak dan separuh bogel di tepi kolam renang hotel. Mereka yang mengadakan pelbagai perkara yang amat menjengkelkan. Jenayah yang melibatkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa. Kita anggap itu hanyalah tanggungjawab kerajaan dan pemimpin tertentu. Kita tuding jari dan riuh-rendahkan pelbagai perkara dengan tujuan untuk mengatakan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan apa-apa. Kita salahkan polis dan pihak berkuasa.

Kita seolah-olah tidak ada tanggungjawab. Seolah-olah tugas kita hanya pandai mengkritik. Tanggungjawab kita hanya menuding jari. Ini termasuklah dalam kalangan orang yang mahir agama yang sepatutnya turut memimpin dan membawa jalan penyelesaian terbaik. Menyatu padukan ummah dan mengajak untuk melakukan kebaikan secara realistik, bukan hanya berceramah atas pentas dan berkempen untuk tujuan tertentu.

Apabila soal-soal kebajikan dan kesejahteraan masyarakat pun dijadikan bahan untuk menuding jari, maka tidak hairanlah apabila orang menghina hukum dan perkara-perkara agama pun kita boleh kita bertoleransi. Kita kata pula yang hukum agama boleh berubah mengikut masa. Kita tafsir mengikut keperluan yang ada, kononnya untuk kemashalatan yang lebih besar. Kemashlahatan siapa? Kemashlahatan masyarakat atau pihak dan individu tertentu?

Kita banyak bercakap tentang moral, etika dan agama. Kita marah kerana ada pemimpin tertentu yang diangkat sebagai tokoh dan pemimpin, yang dituduh dan dicari segala alasan dan bukti untuk mengatakan tidak bermoral, korupsi dan pelbagai keburukan lagi. Tetapi bila pihak kita dituduh menjulang pemimpin tidak bermoral, kita bela mati-matian. Jika sekali atau dua kali bolehlah agaknya dianggap fitnah dan sengaja diada-adakan, tetapi jika berkali-kali, kita masih lagi menganggap bersih dan hebat, walau pun sanggup menjual nama baik agama, bangsa dan tanah air sendiri di luar negara.

Malah jika orang yang kita anggap 'baik' dan 'bermoral' melakukan tindakan bertentangan dengan nilai dan norma yang ada, kita anggap itu fitnah dan sengaja direka. Jika orang lain yang buat dan dianggap bukan dalam kem sendiri, cepat sahaja melenting dan diminta ambil tindakan segera, tubuh suruhanjaya siasatan dan pelbagai lagi.

Banyak lagi hal-hal lain yang kita bersikap talam dua muka dan double-standard.Kita anggap remeh dan kecil, walau pun yang menyentuh akidah dan kepercayaan agama kita sendiri. Contoh terdekat ialah apabila dikatakan hukum agama boleh berubah mengikut keadaan. Siapa yang menentukan keadaan itu? Atau pun kita pejam mata sebelah apabila terang-terang 'sahabat' kita menentang hukum Islam dan negara Islam yang kita canangkan.

Apatah lagi apabila ada individu tidak bermoral yang memperjuangkan kebebasan yang selari dengan apa yang kita percayai, terus sahaja menerimanya sebagai pemimpin besar, apatah lagi apabila diiktiraf pula oleh negara tertentu yang mempunyai agenda yang sama dan selalu tidak senang melihat pencapaian dan kemajuan negara. Mereka ini walau pun terang-terang perjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan agama, tetap disokong, digenggam erat tanggannya malah kalau boleh dipeluk, asalkan dapat jatuhkan orang lain yang dianggap lawan.

Demikian, banyaknya hal-hal kecil dan remeh tetapi beri kesan besar terhadap kedaulatan, keselamatan masyarakat dan keharmonian negara yang kita sayangi. Perkara-perkara kecil yang boleh bersemarak sehingga merosakkan tamadun umat, kematian dan kesusahan bukan sahaja kepada individu malah juga kepada masyarakat seluruhnya. Pada Ramadan ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan nantinya Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55, wajar kita membuat muhasabah, senaraikan lagi, betapa banyaknya perkara kecil yang sewajarnya diambil tindakan awal kerana ia seperti barah dan penyakit kronik yang jika tidak ditangani awal, akan menyebabkan kesusahan dan kehancuran.

No comments:

Post a Comment

Admin blog Pendekar Melayu Ulung tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh disabitkan kesalahan akta Komunikasi dan Multimedia 2008.

Oleh itu, komen lah secara berhemah ya.